Adakah kita pendosa yang menunda kekalahan

Semalam aku lepak dengan mat punk sadis
mukanya muram, jacketnya lusuh, baju dan seluarnya koyak, suaranya garau dan serak, alis matanya basah, hidupnya ibarat nomad, setiap pagi bila bangkitnya fajar di ufuk dia akan bangun dari lena yang panjang dan membawa tempat tidurnya yang beralas kotak untuk pindah ke suatu tempat ke tempat yang lain, hidupnya porak peranda, walau berumah di tepi kaki lima itu sudah cukup selesa buat dirinya, ibarat hidup di atas awan putih yang luas dan jus anggur sebagai teman.

Semalam aku mendengarkan dia menyumpah Tuhan atas nasibnya yang malang dengan rokok dibibir sambil jari-jarinya menunjuk ke atas dan berteriak dengan suara yang marah dan terdesak; Tuhan tidak sedihkah kau diatas sana melihat nasib-nasib ciptaanmu ini yang terbuang yang terasing? kalau iya kenapa tidak kau meragut nyawaku dengan kematian?

Suaranya nyaring memecah jalan-jalan yang sepi
angin-angin beralun dalam keadaan hening dan dingin, pokok-pokok seolah tertunduk merestui sesebuah nasib, dan dia kembali duduk diam seketika sambil mulut-mulutnya bernyanyi dalam bahasa yang paling rahsia

Setelah diam dia mula menanyakan kepadaku tentang satu hal sambil meneguk air yang berada ditangannya; Dulu ada seorang tahanan perang yang ditembak mati oleh sekumpulan askar kerana mempertahankan rahsia negara, adakah itu berbaloi buat nasibnya?

Aku menyambut kata-katanya dan berkata; Ya berbaloi. Kenapa aku berkata ya? Kerana pengorbanan itu harus ada, jika si tahanan perang itu tadi membongkarkan rahsia negaranya kepada sekumpulan askar tadi, mungkin akan ada beribu kematian atas perbuatannya, maka dia tidak pernah ingkar pada nasibnya.

Aku menyambung kembali dengan nada-nada seakan seorang ahli falsafah, tenang berbicara, semangat didengar.

Ini kata-kata seorang ahli falsafah Perancis kurun ke 17, iaitu Pascal; Manusia hanya sebatang buluh, yang paling rapuh dan paling lemah sekali dalam alam ini, namun dia adalah buluh yang berfikir, tidak perlu untuk seluruh alam semesta bersiap siaga dengan segala senjata untuk menghancurkannya, cukuplah sekadar sehembus angin atau setitik air, lalu dia akan ditundukkan, namun jika alam semesta menghapuskan dia, manusia masih lagi lebih mulia daripada benda yang mengalahkannya. - (1)

Aku bangun dari kaki lima dan menepuk bahunya; Kekal lah tumbuh dan hidup seperti seekor burung yang patah sayapnya, walau patah sayapnya dia tidak pernah menyerah pada nasibnya.

Dan aku mengeluarkan sebatang rokok yang berada di saku dan membakarkan untuk mat punk sadis tadi yang menggelar dirinya sebagai Edy the shit, dia mengambil dan menyedut sedalam-dalamnya dan menghembus dengan perlahan-lahan ke udara seolah ketenangan itu sudahpun tertumbuh dan hidup.
_______________________________
(1) Filsuf untuk noob; Dayang sifar

No comments:

Post a Comment